Tuesday 19 April 2011

Hak jurulatih vs. hak persatuan: bilakah wujudnya kemungkiran kontrak sukan?

Salam sukan Malaysia...
Isu kontrak Datuk Misbun sebenarnya banyak memberi impak kepada perundangan dalam sukan. Sekiranya sebelum ini istilah jurulatih hanya didefinisikan sebagai seorang guru atau pembimbing kepada anak didiknya, istilah ini telah diperluaskan skopnya, malah dinilai tambah sebagai 'istimewa' kerana penawaran sebuah kontrak sukan kepada mereka yang dianggap istimewa dan berkemahiran tinggi. Nilai kontrak sukan tersebut menjadi tinggi atau istimewa lantaran nilai pihak yang memeterainya.
Justeru, ©Sports Law in Malaysia rasa terpanggil untuk membincangkan isu hangat ini. Cumanya, perbincangan penyambungan kontrak, kandungan kontrak iaitu sama ada untuk melatih Datuk Lee Chong Wei atau barisan pelapis negara bukanlah isu yang hendak dibincangkan disini. Isu tersebut telah hangat disebut dalam akhbar tempatan. Perbincangan kali ini adalah asas kepada kontrak iaitu berhubung tanggungjawab dan hak. Walaupun ianya adalah asas, kemungkiran (breach) terhadap tanggungjawab dan hak akan menamatkan kontrak tersebut dan pihak yang terkilan berhak mendapat gantirugi.

Secara perspektif, dalam kontrak bentuk seragam seperti kontrak sukan, pihak yang menerima kontrak iaitu jurulatih bertanggungjawab melaksanakan hak pihak yang menawarkan kontrak (majikan, kelab atau persatuan).  Isunya, salah satu daripada tanggungjawab yang bakal diberikan oleh majikan Datuk Misbun ialah 'membentuk satu kumpulan pemain yang berkaliber yang diharapkan akan menggantikan Datuk Lee Chong Wei' dan 'berkemampuan untuk melahirkan juara badminton Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016'. Satu bentuk tanggungjawab yang dilihat amat berat di bahu Datuk Misbun apatah lagi kontrak tersebut hanya bertempoh 2 tahun. Tanggungjawab tersebut perlu dilakukan oleh Datuk Misbun dengan kaedah kejurulatihan peringkat tertinggi (kalau boleh saya gunakan...paling power) kerana sekiranya beliau gagal, nilai keistimewaan yang ada padanya dewasa ini mungkin menjadi bahan kritikan malah cemuhan pada suatu masa nanti. Apatah lagi pada masa yang sama, bayaran gaji yang berjumlah hampir melebihi RM30,000 sebulan sebahagiannya dibayar oleh MSN. Sudah pasti MSN mempunyai penilaian sendiri dalam mengukur prestasi percaturan rancangan dan strategi program yang dibuat oleh Datuk Misbun. Bolehlah dikatakan, andainya gagal, beliau bertanggungan untuk menyediakan jawapan bagi kedua-duanya. 

Sejauh mana realiti kemampuan Datuk Misbun dalam menggalas tanggungjawab ini? Persoalan tersebut mungkin tidak perlu dijawab memandangkan sejarah telah membuktikan kemampuan beliau menghasilkan wira badminton ranking no 1 dunia sejak 2008 hingga kini. Hasil tersebut adalah natijah daripada segala bentuk program yang beliau kendalikan selama ini tanpa diganggu. Sehinggalah tarikh beliau meletakkan jawatan pada 3 Januari 2011 apabila aspek teknikal dan kejurulatihan beliau yang power tersebut telah dipersoalkan (bukan peribadi seperti yang didakwa iaitu kerana hendak mendidik anaknya sahaja). Dan malangnya, dalam perbincangan yang sentiasa serius berhubung terma baru kontrak beliau, tidak pula dibahaskan apakah hak beliau dalam menentukan kejayaan tanggungjawabnya. Sedangkan bagi memastikan tanggungjawab tersebut dilaksanakan sebaiknya, beliau berhak untuk tidak dipersoalkan kenapa beliau berbuat itu dan ini. Mungkin persatuan hanya tahu tanggungjawab beliau adalah untuk mendidik anak didiknya sehingga ke peringkat paling power di dunia tetapi tidak pula menyedari bahawa beliau mempunyai hak menentukan bagaimanakah cara mendidik yang paling sesuai, cemerlang dan paling power.

Apabila isu seperti ini dipertikaikan, sudah pasti jurulatih ternama seperti Datuk Misbun tidak akan berpuas hati. Kredibilitinya sebagai jurulatih dikianati justeru mengambil jalan untuk menamatkan kontrak. Bagi Datuk Misbun, apabila hak beliau dalam menentukan tanggungjawab kejurulatihannya ditolak, ia bermakna telah berlaku kemungkiran dalam kontrak yang selama ini beliau sanjung tinggi.

©Sports Law in Malaysia