Monday 28 March 2011

Undang-Undang Sukan dan Perundangan Antarabangsa

By: Jady@Zaidi Hassim (UKM)

Adakah lex sportiva bersifat antarabangsa? Undang-undang antarabangsa ialah undang-undang yang mengawalselia hubungan di antara negara-negara dengan menggunakan prinsip jus commune. Nafziger percaya sekiranya undang-undang antarabangsa diaplikasikan kepada sukan, segala peraturan yang berunsur disiplin dan proses membuat keputusan yang bersifat autoritatif dalam lex sportiva akan menjadi sebahagian daripada undang-undang antarabangsa itu sendiri. Oleh itu, lex sportiva hendaklah dilihat bukan hanya sebagai salah satu cabang undang-undang antarabangsa, malah ia adalah lebih luas dengan memasukkan elemen tambahan iaitu ‘kedaulatan undang-undang dan perlembagaan’ yang diamalkan oleh kebanyakan negara barat. Ia bermakna selain prinsip-prinsip awam dalam undang-undang antarabangsa, keputusan-keputusan berhubung sukan yang diputuskan oleh mahkamah keadilan kebangsaan negara-negara di dunia boleh dijadikan sandaran dan duluan mahkamah dalam memutuskan kes-kes sukan yang akan datang.[1]

                Houlihan berpendapat undang-undang sukan global dan universal perlu dibezakan dengan undang-undang sukan antarabangsa. Oleh kerana undang-undang sukan global dan universal adalah seperti ‘sport without a state’, ia bersifat tidak jelas dan tidak berasas, dan hanya menitik beratkan aspek pengkomersialan sahaja tanpa merujuk kepada identiti sebuah bangsa.[2] Contohnya, dalam sukan permotoran F1, pasukan mewakili syarikat besar yang membiayainya dan bukannya mempunyai satu identiti sebuah negara. Dalam konteks tersebut, tiada sebarang peruntukkan kewangan daripada kerajaan menyebabkan campurtangan kuasa kerajaan amat minima atau tiada langsung.

                Berbanding undang-undang badan sukan dunia, ia menerima pakai kerangka perundangan kebangsaan. Micheal Beloff menghujahkan bahawa lex sportiva itu bersifat antarabangsa kerana ia adalah asas yang menyokong kepada perlembagaan badan sukan antarabangsa. Ia mengandungi tiga elemen iaitu (1) norma-norma daripada pelbagai negara yang diwujudkan oleh peraturan dan amalan badan sukan antarabangsa; (2) mengandungi jurispruden yang unik berbeza dengan prinsip-prinsip perundangan yang diamalkan di mahkamah biasa; (3) bersifat autonomi dan mengatasi undang-undang kebangsaan sesebuah negara.[3]

                Prinsip itu sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang masih lagi berpegang teguh kepada undang-undang kebangsaan. Malah, ia diakui oleh institusi global iaitu CAS yang berpendapat bahawa peraturan yang diiktiraf secara lazim oleh masyarakat sukan adalah seperti berikut:

All sporting institutions, and in particular all sporting federations, must abide by general principles of law...certainly, general principles of law drawn from a comparative or common denominator reading of various legal systems and, in particular, the prohibition of arbitrary or unreasonable rules and measures can be deemded to be part of such lex ludica.[4]

                Badan sukan dunia boleh menggubal dan mencipta kod peraturannya sendiri. Namun, penggubalan kod peraturan tersebut tidak secara automatik bermakna tertubuhnya satu governan sukan yang bersifat global. Kod peraturan yang digubal juga bukan satu lex sportiva yang kebal daripada campurtangan undang-undang kebangsaan. Contohnya dalam konteks peraturan asas permainan iaitu bagaimana sesuatu sukan dikawal dan dikelolakan, ia dihujahkan tidak boleh dicabar secara teknikal dan adalah di luar kawalan sebuah institusi seperti CAS. Satu kes tinju yang diadili oleh CAS pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan diputuskan sebagai tidak sah kerana tumbukan terlalu rendah boleh dijadikan kajian.[5] Panel CAS menghujahkan bahawa dalam teori klasik, terdapat perbezaan dengan apa yang diputuskan oleh panel timbangtara CAS dengan peraturan asas permainan. Tetapi sekiranya sukan tersebut ialah sukan berprestij tinggi dan mempunyai kesan ekonomi, teori moden gagal membezakan sama ada peraturan asas permainan secara automatik mempunyai kekebalan perundangan.[6] Apa yang nyata dalam kes tersebut, Panel bersetuju bahawa kuasa kehakiman (mahkamah kebangsaan) boleh menyemak keputusan CAS sekiranya keputusan tersebut bersifat tidak adil dan tidak sah;[7] atau melanggar ‘peraturan sosial prinsip undang-undang secara umum’.[8]

                Namun, masyarakat sukan sudah sedia maklum dengan semangat kesukanan, yang dihujahkan bersifat ekuiti. Dengan itu, badan sukan dunia sebagai contoh meletakkan prinsip ekuiti tersebut dengan memasukkan prinsip-prinsip moral bukan hanya dalam perlembagaan malah peraturan asas permainan mereka; iaitu keadilan, integriti, semangat kesukanan selain karaktor asas permainan.[9] Ia bertujuan menjadikan pertandingan sukan lebih saksama, selain mengekalkan kejujuran dan integriti dalam sukan.[10] Prinsip-prinsip ekuiti dan moral tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada undang-undang antarabangsa. Mertens menyenaraikan prinsip-prinsip undang-undang awam berasaskan lex mercatoria yang tidak boleh diketepikan oleh badan sukan dunia. Antaranya ialah:

...pacta sunt servanda (agreements are binding), equity, the doctrine of proportionality, doctrine of personal liability, the prohibition of unjust enrichment, and the doctrine of clausula rebus sic stantibus (agreement is abrogated when there is a fundamental change in circumstances).[11]


[1] Nafziger, J., ‘Globalising sports law’ (1999) 9(2) Marquette Sports Law Journal 225, hlm. 237.
[2] Houlihan, B. Sport and international politics, Hemel Hempstead, Harvester-Wheatsheaf, 1994, hlm. 10.
[3] Beloff, M., et. al., Sports law, 1999, hlm. 4.
[4] AEK Athens & Slavia Prague v UEFA (Court of Arbitration for Sport 98/200; Award 20/08/99), para. 188.
[5] Mendy v IABA, OG, Atlanta 006, Dlm. Foster, K., ‘Is there a global sports law?’, 2003, hlm. 5.
[6] Mendy v IABA, para. 8.
[7] Ibid., para. 11.
[8] Lihat keputusan Mahkamah Tinggi Australia dalam Agar v Hyde [2000] 173 ALR 665. Menurut kes tersebut, peraturan asas permainan secara automatik adalah kebal daripada semakan perundangan.
[9] Foster, K., ‘Is there a global sports law?’, 2003, hlm. 6.
[10] Rasuah, percaturan permainan dan doping adalah contoh-contoh berlawanan dengan prinsip kesukanan dan akan memberi nama buruh ke atas sukan tersebut.
 [11] Mertens, H.J., Lex Mercatoria: a self applying system beyond national law?’ Dlm. Teubner, G. (pnyt.), Global law without a state, Andover, Dartmouth, 1997; Lihat Maniruzzaman, ‘The lex mercatoria and international contracts: a challenge for international commercial arbitration’ (1999) 3 American University International Law Review 657, hlm. 722.

Undang-Undang Sukan dan Autonomi Badan Sukan Antarabangsa

By: Jady@Zaidi Hassim (UKM)

Ken Foster melihat lex sportiva sebagai undang-undang sukan yang bersifat global. Ia bermaksud wujud peraturan dan sistem perundangan baru yang dicipta oleh satu organisasi sukan global yang bersifat persendirian, mempunyai kuasa autonomi dan berfungsi mengawal sukan peringkat antarabangsa. Karaktor utama organisasi tersebut ialah membina hubungan kontraktual secara global. Melalui perjanjian dan persetujuan, semua badan sukan dunia akan menyerahkan kuasa autoriti dan bidang kuasa untuk tertakluk dengan peraturan organisasi global tersebut. Ini bermaksud sistem undang-undang kebangsaan dan kerajaan tidak akan campurtangan sama sekali dalam sebarang pertikaian. Ironinya, prinsip sui generis yang dihasilkan oleh organisasi sukan global hendaklah terlebih dahulu diinterpretasikan oleh badan sukan dunia. Segala pertikaian diselesaikan melalui proses dalaman atau proses timbangtara oleh institusi luar seperti yang dibenarkan oleh peraturan dan perlembagaan badan sukan dunia tersebut.[1]

                Sejauh manakah pula badan sukan kebangsaan dan dunia mempunyai kuasa monopoli dan bidang kuasa ke atas sukan tertentu? Ini kerana sesiapa sahaja yang menandatangani kontrak dengan persatuan bolasepak sebagai seorang ahli sukan profesional secara ironinya tidak mempunyai pilihan kecuali meletakkan dirinya di bawah autonomi dan kuasa persatuan tersebut. Kontrak yang ditawarkan bersifat bentuk seragam dan ‘adhesionary’ dengan terma dan syarat yang telah dideraf secara standard. Penerimaan tawaran adalah dalam pilihan ‘terima’ atau ‘tolak’ tanpa sebarang peluang untuk membuat rundingan. Sekiranya terdapat pertikaian, semakan semula isi kandungan terma perlu dilakukan dengan campurtangan mahkamah bagi memastikan kedua-dua pihak dilindungi. Namun demikian, sifat kontrak itu sendiri adalah di bawah julat undang-undang persendirian yang secara teori menolak campurtangan tersebut walaupun ia melibatkan persoalan keadilan asasi. Ini kerana mahkamah sendiri telah mengiktiraf ciri-ciri kontrak sukan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh sesebuah badan sukan. Lord Denning pada awalnya memutuskan bahawa:

The rules of a body like [the Football Association] are often said to be like a contract. So they are in legal theory. But it is a fiction – a fiction created by lawyers to give the courts jurisdiction. Putting the fiction aside, the truth is that the rules are nothing more nor less than a legislative code – a set of regulations laid down by the governing body to be observed by all who are, or become, members of the association.[2]  

                Posisi di England adalah berbeza apabila mahkamah Inggeris dalam kes Cooke v FA[3] menolak kuasa mengikat FIFA. Mahkamah memutuskan bahawa “binding authority of FIFA regulations were not a defence available to a national association when it was found to be acting in restraint of trade”.[4] Sepuluh tahun kemudian, keputusan tersebut disokong oleh Lord Denning dalam Reel v Holder[5] justeru merubah pendirian beliau pada tahun 1971 apabila beliau menyatakan bahawa mahkamah tidak peduli dengan undang-undang antarabangsa dan kedaulatannya. Apa yang perlu dikaji oleh mahkamah ialah interpretasi peraturan yang dideraf oleh Persatuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF). Wise dan Meyer merumuskan bahawa:

It appears that UK courts do not recognise international, continental or national sports governing bodies as having the status of government or quasi-governmental organisations. Nor do they recognise them as having or bestow upon them any sovereignty or sovereign or sovereign-like immunity from being sued or from execution against their assets.[6]

                Dalam masa yang sama, wujud institusi yang berfungsi menyelesaikan pertikaian sukan, contohnya Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) dan Panel Penyelesaian Pertikaian Sukan UK (UK Sports Dispute Resolution Panel).[7]

                CAS yang juga dikenali sebagai Tribunal Arbitral du Sport (TAS)[8] ialah sebuah institusi yang mempunyai kuasa autonomi ke atas pertikaian sukan berprofil tinggi. Semua badan sukan kebangsaan dan dunia yang bernaung di bawah Majlis Olimpik dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) adalah subjek kepada proses timbangtara yang diadili oleh CAS.[9] CAS ialah satu perbadanan yang mempunyai entiti perundangan dan ditadbir urus oleh Majlis Timbangtara Sukan Antarabangsa – International Council of Arbitration for Sport (ICAS).[10] Namun, tidak semua badan sukan dunia tertakluk kepada bidang kuasa CAS; sebagai contoh FIFA (bola sepak), IAAF (olahraga) dan IABA (tinju) mempunyai tribunal timbang taranya sendiri tanpa merujuk kepada CAS. Badan sukan dunia yang tidak dinaungi oleh IOC seperti FIA (sukan permotoran) juga mempunyai badan penyelesaian pertikaiannya sendiri.

                Keunikan CAS ialah kemampuannya untuk mencipta norma-norma baru yang mempunyai kuasa perundangan dan sosial. Perlembagaannya bersifat antarabangsa dan mempunyai kuasa legislatif ke atas semua badan sukan yang dinaungi. Peraturan yang digubal pula mempunyai standard obligasi sosial untuk dipatuhi. Tradisi dan amalan yang diikuti bersifat menyeluruh, komprehensif tetapi umum agar dapat diharmonikan secara sah dan benar dengan semua badan sukan naungan di seluruh dunia. Status IOC telah diiktiraf oleh Mahkamah Amerika Syarikat sebagai satu personaliti berentiti antarabangsa dalam kes Defrantz v USOC.[11] Dalam kes tersebut, Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) membantah penghantaran pasukan ke Olimpik Moscow 1980 sebagai bantahan serangan Rusia ke atas Afghanistan. USOC ditubuhkan melalui penggubalan Akta Sukan Amatur 1978 bagi membolehkan USOC menghantar pasukan mewakili Amerika Syarikat ke Sukan Olimpik. Sebenarnya Akta tersebut dihujahkan tidak mewujudkan atau memberi kuasa perundangan kepada USOC tetapi hanya mengiktiraf kewujudan kuasa autonomi USOC sebagai salah satu naungan IOC. Dengan itu, mahkamah memutuskan bahawa:

                   Congress was necessarily aware that a National Olympic Committee (NOC) is a creation and a creature of the International Olympic Commitee, to those rules it must conform. The NOC gets its power and its authority from the IOC, the sole proprietor and owner of the Olympic Games.

                Kerangka perundangan yang dicipta IOC adalah bersifat kebal dan tanpa campurtangan mahkamah kebangsaan. Malah ia tidak bersifat tempatan dan domestik serta menolak secara hormat pengiktirafan dan keesahan daripada sistem perundangan kebangsaan. Sistem sukan dan perundangan global tersebut adalah seperi yang dibincangkan oleh Teubner sebagai ‘global law without a state’.[12]

                Kes USOC tersebut juga menunjukkan status perundangan IOC paling tinggi seperti yang digariskan dalam Perlembagaannya.[13] Secara langsung ia mencipta satu tatatingkat yang bukan hanya perlu dipatuhi oleh semua badan sukan (kebangsaan dan dunia). Ahli sukan (amatur dan profesional) juga tertakluk kepada bidang kuasa tersebut. Ahli sukan profesional pula secara automatik mempunyai hubungan obligasi kontraktual secara langsung jika dibandingkan dengan aplikasi undang-undang kebangsaan seperti kontrak dan pekerjaan. Hubungan obligasi kontraktual tersebut diiktiraf sebagai sah dan mengikat oleh mahkamah kebangsaan.

                Kesimpulannya, pemain berada dalam dilema dan terperangkap di antara kerangka peraturan yang dicipta oleh badan sukan dunia atau IOC dengan undang-undang kebangsaan yang sedia ada. Kegagalan menuruti kehendak peraturan tersebut akan mengakibatkan sanksi atau penalti, dan dalam masa yang sama kegagalan menuruti perundangan kebangsaan akan menyebabkan konflik dan arahan mahkamah dikenakan ke atas mereka. Tambahan pula, kontrak perkhidmatan yang dideraf oleh badan sukan kebangsaan secara eksklusif menghalang ahli sukan profesional daripada mendapatkan khidmat mahkamah sekiranya berlaku pertikaian. Perlembagaan badan sukan secara autonomi meletakkan keputusan panel sukan yang dilantik sebagai ‘keputusan akhir yang mengikat’, menyebabkan ahli sukan tidak ada peluang untuk merayu ke mahkamah. Kekecualian yang dinyatakan dalam kontrak juga melarang ahli sukan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas badan sukan kebangsaan mahupun dunia sebagai pra-syarat mewakili pasukan.




[1] Foster, K., ‘Is there a global sports law?’ (2003) 2(1) Entertainment and Sports Law Journal 1, hlm. 8-10.
[2] Enderby Town Football Club Ltd. v The Football Association Ltd. [1971] Ch 591, hlm. 606.
[3] The Times, 23 March 1972.
[4] Foster, K., ‘Is there a global sports law?’, 2003, hlm. 5.
[5] [1981] 3 All ER 321.
[6] Wise, A. & Meyer, B., International sports law and business, Kluwer Law, New York, 1997, hlm. 147.
[7] Gardiner, S., et. al., Sports law, 2001, hlm. 263.
[8] http: www.tas-cas.org. [22 Januari 2009].
[9] Gearhart, S., ‘Sporting arbitration and the International Olympic Committee Court of Arbitration for Sport’ (1989) 6(4) Journal of International Arbitration 39, hlm. 40.
[10] Nafziger, J., ‘International sports law as a process for resolving disputes’ (1996) 45(1) ICLQ 130, hlm. 143. Lihat Morris, P. & Spink, P., Court of Arbitration for Sport, Dlm. Steward, W. (pnyt.), Sports law: the Scots perspective, T & T Clark, Edinburgh, 2000, hlm. 61.
[11] [1980] 492 F. Supp 1181.
[12] Teubner, G. (pnyt.), Global law without a state, Andover, Dartmouth, 1997, hlm. 56.
[13] Peraturan 1 Piagam Olimpik, The supreme authority of the Olympic Movement. Rujuk IOC, Olympic Charter, IOC, Switzerland, Oktober 2007. Lihat http://www.olympic.org [28 Januari 2009].

Undang-Undang Sukan ATAU Aplikasi Undang-Undang Dalam Sukan

By: Jady@Zaidi Hassim (UKM)
Undang-undang Sukan atau Undang-undang dan Sukan
Terdapat tiga pendapat berhubung pengiktirafan lex sportiva sebagai satu sumber perundangan. Teoritis moden seperti Edward Grayson mewakili pendapat pertama (Traditional View) yang tidak mengiktiraf lex sportiva sebagai satu subjek yang berdiri sendiri. Ia kerana lex sportiva tiada asas jurispruden yang kukuh. Undang-undang lazim dan ekuiti juga tidak mewujudkan satu konsep perundangan khusus berhubung sukan. Aspek perundangan yang dibahaskan di Parlimen serta statut yang digubal hanyalah satu reaksi perundangan untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat.[1] Beliau disokong oleh Woodhouse yang menghujahkan bahawa lex sportiva tidak wujud. Undang-undang kontrak, pekerjaan, pentadbiran dan harta intelek hanyalah aplikasi disiplin perundangan ke atas sukan dan tidak boleh dianggap sebagai kandungan lex sportiva.[2]
Sebaliknya,Simon Gardiner dalam mukadimah edisi ke-3 Sports Law mewakili pendapat kedua (Positive View). Beliau menyatakan bahawa wujud perkembangan yang pesat dalam bidang akademik berhubung kerangka perundangan sukan. Ia adalah satu bukti jelas bahawa lex sportiva mempunyai eksposisi jurispruden yang mencerminkan bukan hanya kematangannya sebagai satu subjek tetapi kemampuan menganalisis dan menilai secara kritis dan berterusan.[3] Ia jelas ditunjukkan dengan pengiktirafan dan campurtangan polisi Kesatuan Eropah dalam aspek sukan. Campurtangan tersebut adalah gambaran jelas bahawa lex sportiva diterima sebagai satu set prinsip perundangan yang berbeza sepertimana undang-undang siber dan undang-undang hiburan. Bahkan lex sportiva adalah satu subjek perundangan yang sah dengan testimoni pelbagai faktor generik yang memperlihatkan penggubalan banyak statut dan litigasi kes-kes mahkamah yang khusus untuk sukan.[4]
Pendekatan pendapat ketiga (Moderate View) lebih rasional dan telah di ambil oleh beberapa teoritis. Sebagai contoh, Hayden Opie dari Australia percaya bahawa lex sportiva ialah aplikasi perundangan dan bukan teoritikal semata-mata.  Beliau melihat lex sportiva sebagai satu proses bagaimana undang-undang secara umum bersilang dengan aktiviti manusia iaitu sukan. Ia satu fenomena baru yang sebelum ni tidak wujud ekoran polisi tidak campurtangan mahkamah dalam urusan persendirian sesebuah organisasi sukan.[5] Perspektif yang lebih progresif ditunjukkan apabila mahkamah turut memberi pengiktirafan ke atas prinsip undang-undang sukan tersebut. Ia dinyatakan oleh Micheal Beloff seperti berikut:
..the law is now beginning to treat sporting activity, sporting bodies and the resolution of disputes in sport, differently from other activities or bodies. Discreate doctrines are gradually taking into shape in the sporting field. English courts are beginning to treat decisions of sporting bodies as subject to particular principles.[6]
Namun, pendekatan perundangan melalui badan kehakiman tersebut hendaklah ditinjau daripada sudut kepentingan praktikal dan bukan satu debat akademik semata-mata. Menurut Adam Lewis dan Jonathan Taylor, mahkamah di kebanyakan negara telah mula menerimapakai dan mengiktiraf sistem perundangan khusus, contohnya undang-undang yang diputuskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).[7] Pengiktirafan oleh mahkamah kebangsaan ke atas prinsip lex sportiva adalah berasas. Ia kerana menurut Hakim Barnes, lex sportiva adalah satu proses perundangan mengenai kepentingan kerajaan.[8]
                Dengan itu, perkembangan sukan masa kini yang merupakan satu industri mungkin akan mengubah persepsi pendapat pertama. Sebagai contoh, konsepsi Edward Grayson mungkin berbeza ekoran edisi pertama pada tahun 1988 belum lagi menyaksikan perkara atau kuasa yang menghendaki lex sportiva diiktiraf sebagai satu aspek perundangan substantif. Berbanding kini, terdapat banyak tindakan mahkamah dan litigasi perundangan oleh ahli sukan profesional. Konflik berhubung kuasa autonomi pentadbiran badan sukan kebangsaan dan dunia serta berita rusuhan dan malapetaka yang menimpa penonton (stadium) adalah pemangkin kepada kepentingan lex sportiva sebagai subjek substantif. Ia dibantu dengan aspek evolusi dalam sukan itu sendiri, permainan kepada pertandingan yang membentuk sukan profesional, satu kerjaya dan industri hiburan jutaan ringgit. Perkembangan tersebut melihat semakin ramai jumlah peguam yang mengkhusus kepada bidang lex sportiva.[9]
                Kelas ini akan menyaksikan pencantuman aspek undang-undang sukan (bahagian pertama semester) dengan undang-undang dan sukan (bahagian kedua semester) sekaligus mewakili pendekatan pendapat ketiga.


[1]Grayson, E., Sport and the law, Ed. ke-2, Butterworth, London, 1994, hlm.xxxvii.
[2]Woodhouse, C., ‘The lawyer in sport: some reflections’ (1996) 4(3) Sport and the Law Journal 14, hlm. 15-16.
[3]Gardiner, S., et. al., Sports law, 2006, hlm. vii.
[4]Ibid.,hlm. viii.
[5]Opie, H., Sports associations and their legal environment, Dlm. McGregor-Lowndes, M., Fletcher, K. &Sievers, S. (pnyt.), Legal issues for non-profit associations, LBC, Sydney, 1996, hlm. 74-94.
[6]Beloff, M.J., Kerr, T &Dimitriou, M., Sports law, Hart, Oxford, 1999, hlm. 3.
[7]Lewis, A. & Taylor, J., (pnyt.), Sport: law and practice, Butterworths,London, 2003, hlm. 10.
[8]Barnes, J.,Sports and the law in Canada,Butterworths, Toronto, 1996.hlm. 3.
[9]Garbarino, P., ‘So you want to be a sports lawyer, or is it a player agent, player representative, sports agent, contract advisor, family advisor or contract representative?’ (1994) 1 Villanova Sports & Entertainment Law Journal 11, hlm. 12.

Pengenalan Undang-Undang Sukan di Malaysia

By: Jady@Zaidi Hassim (UKM)
Apakah definisi lex sportiva?Persoalan definisi ini agak teknikal. Ia kerana persoalan tersebut bukan sekadar menjawab persoalan perundangan berhubung sukan malah ia adalah satu bidang baru yang masih lagi belum diceburi dan dipelajari secara khusus di Malaysia. Secara umum, lex sportiva adalah satu cabang disiplin perundangan yang sungguh luas dan luar biasa, mengandungi bukan hanya perundangan substantif tetapi perundangan antarabangsa serta meliputi isu-isu khusus berhubung sukan contohnya penyalahgunaan dadah (doping) dalam sukan dsb.[1]
Ia jelas dinyatakan oleh Dean Robert Garberinio seperti berikut:
“Undang-undang sukan ialah kombinasi pelbagai disiplin perundangan, bermula dengan undang-undang anti trust sehinggalah percukaian. Kewujudannya adalah kerana faktor yang timbul dari konteks sukan itu sendiri dan disokong oleh pelbagai kes-kes berkaitan dengannya dan pewartaan akta-akta sukan yang baru oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Undang-undang sukan boleh lah dikatakan mengandungi semua aspek perundangan substantif dibandingkan dengan disiplin aktiviti yang lain. Ia juga dinamik, sentiasa berkembang dengan isu-isu baru hampir setiap hari berasaskan kepada keputusan mahkamah, perundangan dan peraturan yang diwartakan.”[2]
Ada berpendapat penggunaan undang-undang sukan adalah satu penggunaan perkataan yang salah. Pendapat tersebut berasaskan kepada konsep permainan atau sukan itu sendiri. Sekiranya penggunaan undang-undang sukan itu diterima, ia bermaksud penerimaan undang-undang sebagai satu sistem yang mempengaruhi pembentukan sukan sedangkan sukan hanya melibatkan permainan dan pertandingan, malah kegembiraan. Ia hanya melibatkan peserta atau pemain tidak kira sama ada pemain tersebut amatur atau profesional. Jelas, kesilapannya disini ialah tiada langsung kaitan sukan dengan undang-undang. Tidak perlu dibincangkan bagaimana undang-undang harus diaplikasikan ke atas seorang pemain yang sedang bersukan. Ia jelas ditegaskan oleh Maureen Archer dan Ronnie Cohen yang membuat perbandingan sama ada sukan perlu diselesaikan di mahkamah atau jawatankuasa disiplin. Jelas, walau dimana jua persoalan pertikaian sukan wujud dan bagaimana ia diselesaikan, pengunaan perkataan sukan adalah terlalu umum. Ia adalah satu perkataan biasa yang tidak memberi apa-apa kesan walaupun perkataan tersebut digunakan di mahkamah.[3]
Timothy Davis juga agak keliru dalam memberi definisi terhadap apakah itu lex sportiva. Kekeliruan ini berpunca disebabkan sedikit sahaja pengetahuan walaupun di kalangan masyarakat sukan berhubung definisi tersebut. Kekeliruan itu juga adalah disebabkan ketidakpastian pengunaan ‘undang-undang sukan’ atau ‘undang-undang dan sukan’. Adakah lex sportiva bermaksud isi kandungan perundangan undang-undang sukan, di mana isi kandungan tersebut adalah undang-undang substantif kebangsaan sedia ada ataupun lex sportiva itu adalah undang-undang yang diiktiraf sebagai satu bentuk undang-undang substantif yang baru dan berasingan seperti mana undang-undang kontrak atau undang-undang pekerjaan.[4] Beliau bagaimanapun menyenaraikan faktor-faktor yang membolehkan lex sportiva untuk menjadi satu bidang perundangan yang baru dan dalam masa yang sama menyenaraikan sejumlah bentuk perundangan substantif yang bergabung dengan sukan bagi membina satu gabungan undang-undang sukan. Dalam kekeliruan tersebut, kesimpulan beliau bahawa pengamal undang-undang sukan adalah hebat dan mesti mengetahui semua aspek perundangan substantif. Pengamal undang-undang sukan adalah’ultimate general practitioner’ yang mahir dalam semua bidang dan ini termasuklah litigasi dan pakar dalam pemindahan hak (conveyancing).
Perkataan undang-undang sukan atau lex sportiva mempunyai pengertian yang lain dalam korpus antarabangsa. James Nafziger percaya lex sportiva adalah merupakan penganugerahan keputusan timbangtara (arbitral awards) yang diputuskan oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS). Ia adalah satu penganugerahan yang bersifat penting malah praktikal, yakni boleh dijadikan alasan penghakiman kepada praktis komersial secara antarabangsa khususnya timbangtara komersial.Walaubagaimanapun terdapat ketidakpastian berhubung apakah asas kepada penganugerahan sesuatu keputusan dalam pertikaian sukan. Adakah CAS mempunyai tatacara perundangannya sendiri (procedural rules of CAS) ataupun timbangtara tersebut berasaskan kepada proses timbangtara biasa dengan mengaplikasikan undang-undang substantif negara pihak yang bertelingkah. Ia kerana tatacara perundangan CAS secara totalnya mengaplikasi perundangan Switzerland. Dan pihak yang bertelingkah pula dibenarkan mengguna-pakai undang-undang substantif kebangsaannya semasa proses timbangtara yang diadili oleh CAS. Dalam masa yang sama, struktur terancang badan sukan dunia yang mempunyai tatacara pertikaiannya sendiri membuat definisi lex sportiva dalam konteks ini agak sukar dan mengelirukan.
Walaubagaimanapun, ide kebangkitan ‘undang-undang dunia – world law’ yang dipolopori oleh Harold Berman dari Universiti Havard mungkin boleh membantu menyelesaikan kekalutan definisi lex sportiva ini. Undang-undang dunia bermaksud ‘common features of the legal systems of the world that is gradually created by the people of the world in their transnational inter-relationships’.[5] Sekiranya undang-undang sukan dunia yang dikuatkuasakan oleh CAS tersebut bersifat seragam pemakaiannya dan sah interpretasi peraturan perundangan sukannya, maka CAS adalah dianggap satu mahkamah antarabangsa sukan yang berotonomi.[6] Malah penganugerahan CAS adalah bersifat ‘wajib dipatuhi’ walaupun penganugerahan tersebut di luar bidangkuasanya dan mewujudkan konflik perundangan antarabangsa.[7] Namun, sistem timbangtara sukan yang diamalkan oleh CAS masih lagi di bawah julat undang-undang persendirian dan tidak secara universal diiktiraf sebagai mahkamah oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) contohnya Bulgaria dan Hungary. Badan sukan dunia contohnya FIFA mengiktiraf penganugerahan CAS hanya bagi tujuan memastikan sanksi yang diputuskan oleh badan timbangtara tersebut dipatuhi. Permasalahan pemakaian undang-undang sebagai teras kepada lex sportiva masih lagi tidak terungkai sepenuhnya.


[1]Kenneth L.S., ‘Introduction: sports law?’ (1998) 35 American Business Law Journal 181-184.
[2] Garberinio, D.R., “So you want to be a sports lawyer, or is it a player agent, player representative” (1994) 1 Vill. Sports & Ent. LawForum11.
[3]Maureen A. & Ronnie C., ‘Sidelined on the (judicial) bench sports metaphors in judicial opinions (1998) 35(2) American Business Law Journal 225-289.
[4] Timothy Davis, ‘What is Sports Law?’ (2001) 11 Marq. Sports Law Review 211-244.
[5]Harold J. B., Law and revolution: the formation of the western legal tradition, Havard University Press, 1983, hlm. 332.
[6]Boris Kolev, ‘Lex sportive and lexmercatoria’ (2008) 1-2 The International Sports Law Journal 57-62.
[7]Mayer Pierre, ‘Mandatory rules of law in international arbitration’ (1986) 2 Arbitration International 274.