Monday 28 March 2011

Pengenalan Undang-Undang Sukan di Malaysia

By: Jady@Zaidi Hassim (UKM)
Apakah definisi lex sportiva?Persoalan definisi ini agak teknikal. Ia kerana persoalan tersebut bukan sekadar menjawab persoalan perundangan berhubung sukan malah ia adalah satu bidang baru yang masih lagi belum diceburi dan dipelajari secara khusus di Malaysia. Secara umum, lex sportiva adalah satu cabang disiplin perundangan yang sungguh luas dan luar biasa, mengandungi bukan hanya perundangan substantif tetapi perundangan antarabangsa serta meliputi isu-isu khusus berhubung sukan contohnya penyalahgunaan dadah (doping) dalam sukan dsb.[1]
Ia jelas dinyatakan oleh Dean Robert Garberinio seperti berikut:
“Undang-undang sukan ialah kombinasi pelbagai disiplin perundangan, bermula dengan undang-undang anti trust sehinggalah percukaian. Kewujudannya adalah kerana faktor yang timbul dari konteks sukan itu sendiri dan disokong oleh pelbagai kes-kes berkaitan dengannya dan pewartaan akta-akta sukan yang baru oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Undang-undang sukan boleh lah dikatakan mengandungi semua aspek perundangan substantif dibandingkan dengan disiplin aktiviti yang lain. Ia juga dinamik, sentiasa berkembang dengan isu-isu baru hampir setiap hari berasaskan kepada keputusan mahkamah, perundangan dan peraturan yang diwartakan.”[2]
Ada berpendapat penggunaan undang-undang sukan adalah satu penggunaan perkataan yang salah. Pendapat tersebut berasaskan kepada konsep permainan atau sukan itu sendiri. Sekiranya penggunaan undang-undang sukan itu diterima, ia bermaksud penerimaan undang-undang sebagai satu sistem yang mempengaruhi pembentukan sukan sedangkan sukan hanya melibatkan permainan dan pertandingan, malah kegembiraan. Ia hanya melibatkan peserta atau pemain tidak kira sama ada pemain tersebut amatur atau profesional. Jelas, kesilapannya disini ialah tiada langsung kaitan sukan dengan undang-undang. Tidak perlu dibincangkan bagaimana undang-undang harus diaplikasikan ke atas seorang pemain yang sedang bersukan. Ia jelas ditegaskan oleh Maureen Archer dan Ronnie Cohen yang membuat perbandingan sama ada sukan perlu diselesaikan di mahkamah atau jawatankuasa disiplin. Jelas, walau dimana jua persoalan pertikaian sukan wujud dan bagaimana ia diselesaikan, pengunaan perkataan sukan adalah terlalu umum. Ia adalah satu perkataan biasa yang tidak memberi apa-apa kesan walaupun perkataan tersebut digunakan di mahkamah.[3]
Timothy Davis juga agak keliru dalam memberi definisi terhadap apakah itu lex sportiva. Kekeliruan ini berpunca disebabkan sedikit sahaja pengetahuan walaupun di kalangan masyarakat sukan berhubung definisi tersebut. Kekeliruan itu juga adalah disebabkan ketidakpastian pengunaan ‘undang-undang sukan’ atau ‘undang-undang dan sukan’. Adakah lex sportiva bermaksud isi kandungan perundangan undang-undang sukan, di mana isi kandungan tersebut adalah undang-undang substantif kebangsaan sedia ada ataupun lex sportiva itu adalah undang-undang yang diiktiraf sebagai satu bentuk undang-undang substantif yang baru dan berasingan seperti mana undang-undang kontrak atau undang-undang pekerjaan.[4] Beliau bagaimanapun menyenaraikan faktor-faktor yang membolehkan lex sportiva untuk menjadi satu bidang perundangan yang baru dan dalam masa yang sama menyenaraikan sejumlah bentuk perundangan substantif yang bergabung dengan sukan bagi membina satu gabungan undang-undang sukan. Dalam kekeliruan tersebut, kesimpulan beliau bahawa pengamal undang-undang sukan adalah hebat dan mesti mengetahui semua aspek perundangan substantif. Pengamal undang-undang sukan adalah’ultimate general practitioner’ yang mahir dalam semua bidang dan ini termasuklah litigasi dan pakar dalam pemindahan hak (conveyancing).
Perkataan undang-undang sukan atau lex sportiva mempunyai pengertian yang lain dalam korpus antarabangsa. James Nafziger percaya lex sportiva adalah merupakan penganugerahan keputusan timbangtara (arbitral awards) yang diputuskan oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS). Ia adalah satu penganugerahan yang bersifat penting malah praktikal, yakni boleh dijadikan alasan penghakiman kepada praktis komersial secara antarabangsa khususnya timbangtara komersial.Walaubagaimanapun terdapat ketidakpastian berhubung apakah asas kepada penganugerahan sesuatu keputusan dalam pertikaian sukan. Adakah CAS mempunyai tatacara perundangannya sendiri (procedural rules of CAS) ataupun timbangtara tersebut berasaskan kepada proses timbangtara biasa dengan mengaplikasikan undang-undang substantif negara pihak yang bertelingkah. Ia kerana tatacara perundangan CAS secara totalnya mengaplikasi perundangan Switzerland. Dan pihak yang bertelingkah pula dibenarkan mengguna-pakai undang-undang substantif kebangsaannya semasa proses timbangtara yang diadili oleh CAS. Dalam masa yang sama, struktur terancang badan sukan dunia yang mempunyai tatacara pertikaiannya sendiri membuat definisi lex sportiva dalam konteks ini agak sukar dan mengelirukan.
Walaubagaimanapun, ide kebangkitan ‘undang-undang dunia – world law’ yang dipolopori oleh Harold Berman dari Universiti Havard mungkin boleh membantu menyelesaikan kekalutan definisi lex sportiva ini. Undang-undang dunia bermaksud ‘common features of the legal systems of the world that is gradually created by the people of the world in their transnational inter-relationships’.[5] Sekiranya undang-undang sukan dunia yang dikuatkuasakan oleh CAS tersebut bersifat seragam pemakaiannya dan sah interpretasi peraturan perundangan sukannya, maka CAS adalah dianggap satu mahkamah antarabangsa sukan yang berotonomi.[6] Malah penganugerahan CAS adalah bersifat ‘wajib dipatuhi’ walaupun penganugerahan tersebut di luar bidangkuasanya dan mewujudkan konflik perundangan antarabangsa.[7] Namun, sistem timbangtara sukan yang diamalkan oleh CAS masih lagi di bawah julat undang-undang persendirian dan tidak secara universal diiktiraf sebagai mahkamah oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) contohnya Bulgaria dan Hungary. Badan sukan dunia contohnya FIFA mengiktiraf penganugerahan CAS hanya bagi tujuan memastikan sanksi yang diputuskan oleh badan timbangtara tersebut dipatuhi. Permasalahan pemakaian undang-undang sebagai teras kepada lex sportiva masih lagi tidak terungkai sepenuhnya.


[1]Kenneth L.S., ‘Introduction: sports law?’ (1998) 35 American Business Law Journal 181-184.
[2] Garberinio, D.R., “So you want to be a sports lawyer, or is it a player agent, player representative” (1994) 1 Vill. Sports & Ent. LawForum11.
[3]Maureen A. & Ronnie C., ‘Sidelined on the (judicial) bench sports metaphors in judicial opinions (1998) 35(2) American Business Law Journal 225-289.
[4] Timothy Davis, ‘What is Sports Law?’ (2001) 11 Marq. Sports Law Review 211-244.
[5]Harold J. B., Law and revolution: the formation of the western legal tradition, Havard University Press, 1983, hlm. 332.
[6]Boris Kolev, ‘Lex sportive and lexmercatoria’ (2008) 1-2 The International Sports Law Journal 57-62.
[7]Mayer Pierre, ‘Mandatory rules of law in international arbitration’ (1986) 2 Arbitration International 274.