Monday 28 March 2011

Undang-Undang Sukan ATAU Aplikasi Undang-Undang Dalam Sukan

By: Jady@Zaidi Hassim (UKM)
Undang-undang Sukan atau Undang-undang dan Sukan
Terdapat tiga pendapat berhubung pengiktirafan lex sportiva sebagai satu sumber perundangan. Teoritis moden seperti Edward Grayson mewakili pendapat pertama (Traditional View) yang tidak mengiktiraf lex sportiva sebagai satu subjek yang berdiri sendiri. Ia kerana lex sportiva tiada asas jurispruden yang kukuh. Undang-undang lazim dan ekuiti juga tidak mewujudkan satu konsep perundangan khusus berhubung sukan. Aspek perundangan yang dibahaskan di Parlimen serta statut yang digubal hanyalah satu reaksi perundangan untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat.[1] Beliau disokong oleh Woodhouse yang menghujahkan bahawa lex sportiva tidak wujud. Undang-undang kontrak, pekerjaan, pentadbiran dan harta intelek hanyalah aplikasi disiplin perundangan ke atas sukan dan tidak boleh dianggap sebagai kandungan lex sportiva.[2]
Sebaliknya,Simon Gardiner dalam mukadimah edisi ke-3 Sports Law mewakili pendapat kedua (Positive View). Beliau menyatakan bahawa wujud perkembangan yang pesat dalam bidang akademik berhubung kerangka perundangan sukan. Ia adalah satu bukti jelas bahawa lex sportiva mempunyai eksposisi jurispruden yang mencerminkan bukan hanya kematangannya sebagai satu subjek tetapi kemampuan menganalisis dan menilai secara kritis dan berterusan.[3] Ia jelas ditunjukkan dengan pengiktirafan dan campurtangan polisi Kesatuan Eropah dalam aspek sukan. Campurtangan tersebut adalah gambaran jelas bahawa lex sportiva diterima sebagai satu set prinsip perundangan yang berbeza sepertimana undang-undang siber dan undang-undang hiburan. Bahkan lex sportiva adalah satu subjek perundangan yang sah dengan testimoni pelbagai faktor generik yang memperlihatkan penggubalan banyak statut dan litigasi kes-kes mahkamah yang khusus untuk sukan.[4]
Pendekatan pendapat ketiga (Moderate View) lebih rasional dan telah di ambil oleh beberapa teoritis. Sebagai contoh, Hayden Opie dari Australia percaya bahawa lex sportiva ialah aplikasi perundangan dan bukan teoritikal semata-mata.  Beliau melihat lex sportiva sebagai satu proses bagaimana undang-undang secara umum bersilang dengan aktiviti manusia iaitu sukan. Ia satu fenomena baru yang sebelum ni tidak wujud ekoran polisi tidak campurtangan mahkamah dalam urusan persendirian sesebuah organisasi sukan.[5] Perspektif yang lebih progresif ditunjukkan apabila mahkamah turut memberi pengiktirafan ke atas prinsip undang-undang sukan tersebut. Ia dinyatakan oleh Micheal Beloff seperti berikut:
..the law is now beginning to treat sporting activity, sporting bodies and the resolution of disputes in sport, differently from other activities or bodies. Discreate doctrines are gradually taking into shape in the sporting field. English courts are beginning to treat decisions of sporting bodies as subject to particular principles.[6]
Namun, pendekatan perundangan melalui badan kehakiman tersebut hendaklah ditinjau daripada sudut kepentingan praktikal dan bukan satu debat akademik semata-mata. Menurut Adam Lewis dan Jonathan Taylor, mahkamah di kebanyakan negara telah mula menerimapakai dan mengiktiraf sistem perundangan khusus, contohnya undang-undang yang diputuskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).[7] Pengiktirafan oleh mahkamah kebangsaan ke atas prinsip lex sportiva adalah berasas. Ia kerana menurut Hakim Barnes, lex sportiva adalah satu proses perundangan mengenai kepentingan kerajaan.[8]
                Dengan itu, perkembangan sukan masa kini yang merupakan satu industri mungkin akan mengubah persepsi pendapat pertama. Sebagai contoh, konsepsi Edward Grayson mungkin berbeza ekoran edisi pertama pada tahun 1988 belum lagi menyaksikan perkara atau kuasa yang menghendaki lex sportiva diiktiraf sebagai satu aspek perundangan substantif. Berbanding kini, terdapat banyak tindakan mahkamah dan litigasi perundangan oleh ahli sukan profesional. Konflik berhubung kuasa autonomi pentadbiran badan sukan kebangsaan dan dunia serta berita rusuhan dan malapetaka yang menimpa penonton (stadium) adalah pemangkin kepada kepentingan lex sportiva sebagai subjek substantif. Ia dibantu dengan aspek evolusi dalam sukan itu sendiri, permainan kepada pertandingan yang membentuk sukan profesional, satu kerjaya dan industri hiburan jutaan ringgit. Perkembangan tersebut melihat semakin ramai jumlah peguam yang mengkhusus kepada bidang lex sportiva.[9]
                Kelas ini akan menyaksikan pencantuman aspek undang-undang sukan (bahagian pertama semester) dengan undang-undang dan sukan (bahagian kedua semester) sekaligus mewakili pendekatan pendapat ketiga.


[1]Grayson, E., Sport and the law, Ed. ke-2, Butterworth, London, 1994, hlm.xxxvii.
[2]Woodhouse, C., ‘The lawyer in sport: some reflections’ (1996) 4(3) Sport and the Law Journal 14, hlm. 15-16.
[3]Gardiner, S., et. al., Sports law, 2006, hlm. vii.
[4]Ibid.,hlm. viii.
[5]Opie, H., Sports associations and their legal environment, Dlm. McGregor-Lowndes, M., Fletcher, K. &Sievers, S. (pnyt.), Legal issues for non-profit associations, LBC, Sydney, 1996, hlm. 74-94.
[6]Beloff, M.J., Kerr, T &Dimitriou, M., Sports law, Hart, Oxford, 1999, hlm. 3.
[7]Lewis, A. & Taylor, J., (pnyt.), Sport: law and practice, Butterworths,London, 2003, hlm. 10.
[8]Barnes, J.,Sports and the law in Canada,Butterworths, Toronto, 1996.hlm. 3.
[9]Garbarino, P., ‘So you want to be a sports lawyer, or is it a player agent, player representative, sports agent, contract advisor, family advisor or contract representative?’ (1994) 1 Villanova Sports & Entertainment Law Journal 11, hlm. 12.