Thursday 14 April 2011

Semangat Akta Sukan vs. Kuasa Pesuruhjaya Sukan, dimana silapnya....

Salam sejahtera semua,

Hari ini kita akan berbicara dengan lebih serius sedikit. Isu ini penting kerana ia melibatkan halatuju satu kerangka perundangan yang akan melibatkan banyak institusi sukan di Malaysia. Bahkan apabila ianya gagal diselesaikan secara berhemah, masa depan atlet yang akan menjadi taruhan. Biar kita berfikir lebih sedikit pada hari ini agar esok-esok golongan atlet yang cuba kita pertahankan dan lindungi sedikit sebanyak akan mendapat manfaatnya.

Sebagai pengenalan, pelaksanaan undang-undang berhubung sukan merupakan kuasa kerajaan negeri seperti yang digariskan dalam Jadual Kesembilan, Senarai III, Artikel 95B(1)(b) 9B (Kebudayaan dan Sukan) dalam Senarai Bersama Undang-Undang Perlembangaan Persekutuan Malaysia 1957. Oleh kerana kawalan sukan dan aktiviti yang sewaktu dengannya adalah disenaraikan dalam Senarai Bersama di antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, beberapa akta khusus berhubung sukan telah diwartakan oleh kerajaan persekutuan (Malaysia). Akta-akta tersebut ialah Akta Perbadanan Stadium Merdeka 1963 yang bertujuan untuk menubuhkan satu badan korporat yang akan mengawal selia pentadbiran infrastruktur sukan di Malaysia; Akta Majlis Sukan Kebangsaan Malaysia 1971 yang akan mentadbir urusan perkembangan, penyelidikan dan profesionalisme dalam sukan serta pengurusan sukan pelbagai peringkat; dan Akta Pembangunan Sukan 1997 yang bertujuan untuk pentadbiran dan pendaftaran semua persatuan sukan di Malaysian serta memantau semua aktiviti sukan yang dijalankan oleh persatuan-persatuan sukan tersebut.

Menariknya semua akta-akta ini bagaikan telah dirancang sebagai wadah untuk memperkasakan sukan tanahair. Perbadanan Stadium Merdeka 1963 menyediakan komponen persediaan dalam bentuk pelbagai infrastruktur di kalangan masyarakat sukan di Malaysia. Pertambahan fasiliti sukan ini dianggap penting dan mustahak dalam menjayakan kompenan kedua iaitu sumber manusia seperti yang telah diaplikasikan oleh Akta Majlis Sukan Kebangsaan Malaysia 1971. Dalam Akta kedua tersebut, status ahli sukan amateur dan profesional ditingkatkan menerusi pelbagai penyelidikan ilmiah dan praktikal serta bidang pengurusan dan pembangunan sukan menjadi lebih profesional. Ini disokong pula oleh Akta Pembangunan Sukan 1997 yang memberi penekanan profesionalisme sesebuah badan sukan kebangsaan dalam bentuk amalan kod etika serta perlaksanaan peraturan yang sah menurut kehendak perundangan. Ketiga-tiga akta tersebut bertujuan menjaga kepentingan tiga aset utama sukan seperti yang diperjuangkan dalam Polisi Sukan Kebangsaan 1988. Tiga aset tersebut ialah Pentadbir Sukan, Badan Sukan Kebangsaan dan Ahli Sukan.

Isunya?

Kita mulakan perbincangan dengan menilai semangat kewujudan Akta Pembangunan Sukan (SDA). Akta ini menjadi sebutan beberapa pemimpin sukan yang mahu ianya dipinda atau dimansuh sahaja. Ada juga yang mencadangkan kepada kajian semula kandungan dan mekanisme penguatkuasaan SDA.

Kenapa? Saya berpendapat SDA sudah cukup cantik dan jelita, menawan hati institusi sukan kebangsaan yang lain. Cara pengolahan SDA seakan mengiktiraf kewujudan dan kepentingan Majlis Sukan Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta Majlis Sukan Kebangsaan Malaysia 1971 dan peranan Majlis Sukan Olimpik Malaysia (OCM) sebagai wakil badan dunia. Maknanya, ia satu petanda bahawa penyatuan telah wujud di kalangan jentera-jentera sukan kerajaan dalam menjurus kepada pentadbiran sukan secara sistematik dan menyeluruh serta peningkatan profesionalisme sukan yang boleh dibanggakan, hanya menerusi satu Akta.

Saya beri contoh satu persatu. Bahagian II SDA mengiktiraf peraturan dan halatuju perkembangan sukan profesional adalah di bawah kelolaan sepenuhnya Majlis Sukan Kebangsaan. Peranan OCM pula dinyatakan dalam Bahagian III. Dalam mencapai tahap profesionalisme yang tinggi, ahli sukan hendaklah bertanding dalam pertandingan bertaraf antarabangsa. Justeru itu, OCM diberi sepenuh mandat untuk melaksanakan tugas pemilihan dan bertanggungjawab memastikan penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik, Asian dan Komonwel selain mempunyai hubungan dengan persatuan dan persekutuan sukan antarabangsa yang lain. Jelas lagi lega hati mendengarnya....

Dan apabila masuk Bahagian IV dan V....saya rasa semangat SDA yang mulanya baik bertukar menjadi haru biru, sedikit dipertikaikan. Baru-baru ini, Setiausaha OCM mencadangkan agar satu suruhanjaya bebas dilantik bagi menggantikan peranan dan kuasa Pesuruhjaya Sukan (PS). Suruhanjaya yang dicadangkan itu boleh meringankan beban PS khususnya yang berkaitan dengan kuasanya untuk mengadili atau menyelesaikan pertikaian sukan. Justeru PS bakal bersih, tidak mengulangi kesilapan dalam penghakiman separa pentadbirannya atau sekurang-kurangnya tidak sempat untuk menyalahgunakan kuasanya.  

Menarik cadangan tersebut. Tetapi dengan mengambil alih kuasa PS, ia juga bermaksud telah merampas wajah kejelitaan SDA. Ia kerana kuasa-kuasa dalam Bahagian IV dan V tersebut adalah nadi kepada SDA dan merupakan intipati bagi perlaksanaan Akta ini.

Mari kita lihat pula siapa PS, perlantikan dan kuasanya sehingga dipertikaikan.

Bagi pentadbiran SDA, seksyen 10 telah memberi kuasa kepada Menteri untuk melantik sesiapa sahaja sebagai PS, Timbalan PS, pegawai malah pembantu PS. Apa peranan PS? PS mempunyai kuasa mutlak sama ada untuk mendaftar atau menolak permohonan pendaftaran mana-mana kelab atau persatuan sebagai badan sukan, mengarahkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi demi melayakkan pendaftaran dan membatal serta menggantungkan pendaftaran tersebut sekiranya perlu. Malah mana-mana badan sukan yang telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau Akta Syarikat 1965 juga perlu mendaftar semula walaupun persatuan dan pertubuhan sukan tersebut telahpun diiktiraf oleh kerajaan.

Bahkan, PS mempunyai kuasa untuk meneliti urusan pentadbiran dan kewangan persatuan-persatuan sukan. Pendaftaran badan sukan tersebut akan ditarik balik sekiranya berlaku penyalahgunaan wang dana, pertikaian kuasa ataupun pindaan perlembagaan persatuan yang dibuat tanpa restu majoriti. Aktiviti persatuan yang dipertikaikan serta boleh merencatkan perkembangan sukan malah kegagalan mengemukakan sebab atas apa-apa pertanyaan penyiasatan akan dijadikan alasan kenapa pendaftaran persatuan tersebut digantung atau dibatal. Malah, sekiranya PS ‘berpuas hati’ bahawa ada persatuan yang tidak aktif atau tidak menurut struktur sukan sepertimana yang telah ditetapkan oleh Akta, pendaftaran persatuan tersebut juga akan ditarik balik.

Peranan dan kuasa tersebut dilihat sebagai 'maha besar' khususnya kepada mana-mana persatuan sukan yang telah terkena...atau tidak berpuas hati...atau memendam rasa geram. Demi hak dan kepentingan sukan, pertikaian sukan yang bersifat persendirian dan sepatutnya dibincang secara dalaman di bawa ke muka pengadilan. Contoh jelas dalam kes Chin Mee keong v Pesuruhjaya Sukan [2007] 5 CLJ 363. Hakim James Foong JCA yang mewakili suara majoriti dalam kes ini bersetuju bahawa permohonan certiorari untuk menghalang PS membatalkan pendaftaran badan sukan kebangsaan (Taekwondo) adalah ditolak. Antara alasan yang diberikan ialah wujudnya remedi-remedi lain sebagai alternatif sebelum kes yang bersifat persendirian ini di bawa ke mahkamah atas alasan Semakan Semula. Remedi-remedi tersebut sebagai contoh ialah merujuk kepada Menteri dan dalam konteks SDA selepas dinasihati oleh Panel Penasihat Sukan.

Pendapat saya sebagai pensyarah, malah pelajar fakulti undang-undang UKM yang mengambil subjek 'Undang-undang Sukan' ialah dengan melihat isu ini secara holistik. Kami melihat kepada tugas dan peranan PS dan bidangkuasanya menurut perundangan. Adalah menjadi kewajipan untuk seorang PS melaksanakan tugas yang diamanahkan olehnya. Semasa melaksanakan tugas tersebut, beliau akan menggunakan kuasa budi bicara malah boleh membuat keputusan secara separa kehakiman (quasi judicial) bagi menyelesaikan apa-apa pertikaian di bawah bidangkuasanya. 

Namun, tidak dapat dinafikan kemungkinan beliau akan melanggar tatacara atau prosedur yang telah ditetapkan, atau secara terang-terangan bersifat salah guna kuasa sehingga membelakangkan hak keadilan asasi (natural justice). So....

Hahaha...sebenarnya yang salah itu bukan sistemnya tetapi orang yang telah meyalahgunakan kuasa itu. Semangat SDA sepertimana yang saya terangkan dalam perenggan di atas sudah cukup cantik dan baik, hanya apabila ianya dimanupulasi khususnya oleh golongan politik, perkara sebaliknya akan berlaku. Sila kaji semula kenapa pada awalnya Persatuan Taekwondo dibatalkan pendaftarannya...memang tak puas hati sekiranya sebab pembatalan hanya kerana ..... sebuah persatuan mengekalkan perlembagaannya dan mempertahankan 'voting system' yang telah lama diamalkan. Dan seterusnya sekiranya orang yang tidak layak tetapi penuh kepura-puraan atau 'kroni' kepada seseorang terus menerus di lantik sebagai PS, maka 'lagenda kerakusan' tersebut terus bermaharajalela.

Saya benar-benar akur dan percaya apa yang pernah disuarakan oleh Leonard A de Vries semasa mendengar ucapan beliau bertajuk A Commitment to Sport, Fitness and Physical Education in Malaysia, Grand Olympic Hotel, Kuala Lumpur, 15-16 December 2002. Katanya....perlaksanaan Polisi Sukan Kebangsaan ini sedikit mengecewakan kerana kegagalan dalam memilih pegawai yang benar-benar bertauliah dan terlatih demi melaksanakan tugas mengembangkan profesionalisme dalam sukan. Kegagalan ini menyumbang kepada kesukaran meletakkan status dan kepentingan sukan sepertimana mustahaknya pendidikan, teknologi sains dan ekonomi...'



Secara analogi, sekiranya kita meletak mereka (pemimpin sukan berjiwa rakyat, seperti artikel sebelum ini) atau mereka yang benar-benar mahu melihat sukan dijunjung setinggi-tingginya, maka sudah pasti martabat sukan tanah air berada di puncak yang amat tinggi.








Saya nak ucapkan SELAMAT BERJAYA kepada semua pelajar undang-undang sukan . Para pelajar undang-undang UKM dan pelajar sains sukan dan rekreasi UiTM yang mengambil subjek susah ini. Andalah peneraju dan bakal menerajui hala tuju undang-undang sukan di Malaysia..ini saya percaya dengan yakin (sambil menguntum senyum di bibir.....)

© Sports law in Malaysia