Monday 11 April 2011

Apabila pemimpin sukan negara mula menggegar dunia....

Bangga dan teruja...mana tidaknya apabila pemimpin sukan negara mula berkecimpung mewarnai kepimpinan sukan peringkat antarabangsa. Satu cabaran buat pemimpin sukan negara yang senarai kegemilangan sukannya tidak seberapa tetapi dengan semangat mahu kejayaan kecil sedia ada diteruskan, dimajukan dan seterusnya bertekad serta percaya satu hari nanti  industri sukan negara berkembang seiring dengan kejayaan atletnya dalam menempa nama dipersada antarabangsa.

Pemimpin bola sepak nombor satu negara, YAM Sultan Ahmad Shah, Presiden FAM, bekas Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan perlantikan barunya sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) adalah tokoh pemimpin sukan negara yang perlu dijadikan tauladan dan ikutan. Semangat membangunkan kebangkitan sukan tanah air khususnya sukan bola sepak tidak pernah luntur dari jiwa, sentiasa utuh walaupun arena bola sepak negara kerap kali rebah dan bangun semula. Begitu juga ketokohan YAM Tunku Imran Tunku Ja'afar, pemimpin MOM sejak 1998, Naib Presiden FIFA, bersuara lantang sebagai ahli dalam IOC dan kini menyuarakan hasrat untuk bertanding kerusi presiden dalam CGF.

YAM Sultan Ahmad Shah
Isu yang ingin dibangkitkan bukan hanya berkisar kepada perlantikan dan peranan kepimpinan global dalam sukan tetapi bagaimana kepimpinan tersebut membantu industri sukan tanahair berkembang sejajar dengan perkembangan industri sukan dunia. Secara jelas, Presiden dan jawatankuasanya (pihak kepimpinan)berperanan dalam menentukan halatuju, polisi dan peruntukan undang-undang (bye laws)  malah merangka strategi bagaimana objektif organisasi yang dipimpin itu memberi kesan kepada masyarakat dunia dan negaranya. Pemimpin sukan negara-negara Barat mengambil kesempatan kepimpinannya dalam merangka satu struktur dan jaringan sukan bagi memantapkan transformasi budaya negaranya sendiri. Sebagai contoh, Jules Rimet, presiden FIFA (1921-1954) melihat kepada kepentingan antarabangsa dalam arena bola sepak dan seterusnya menjadi pengasas kepada Piala Dunia. Baginya sukan adalah kuasa luar biasa untuk penyatuan mental dan fizikal, malah persaingan sihat dalam ertikata persahabatan. Natijah yang sama diterjemahkan  untuk menjadikan belia negaranya agar sentiasa bersama, bersaing sihat dalam kehidupan...asasnya hanya sukan dan bola sepak. Baron Pieera de Coubertin melalui fikrahnya yang jelas berusaha memujuk aristocrat Parsi untuk membina 'first modern Olimpic Games' yang menyaksikan kehebatan golongan belianya bersaing di arena antarabangsa, mencabar diri untuk persaingan global. Dan sehingga kini, konsep tersebut masih subur dan kekal dijiwai oleh masyarakat senegaranya.

Jules Rimet

Membina institusi dan fasiliti antarabangsa (bangunan AFF) di negara ini  adalah satu contoh ketokohan fikiran yang tinggi.  Institusi sukan global dan antarabangsa memberi ruang kepada badan korporat multinational melabur dan berkongsi keuntungan dalam acara sukan berkelas dunia, justeru menaikkan nama Malaysia sebagai co-brand dalam pertandingan tersebut. Perbincangan pelaburan tersebut biasanya bersesuaian dengan kehendak tempatan-kebangsaan. Acara berprofail tinggi juga melibatkan peranan media justeru mencetus kesedaran di kalangan belia Malaysia betapa hebatnya sukan dalam pelbagai cara. Lama kelamaan akan wujud idealogi sukan moden yang melihat sukan sebagai satu bentuk pekerjaan, pendidikan dan modal insan dan bukan hanya semata-mata permainan, pengisian masa lapang dan hiburan pertandingan. Lihat saja contoh penganjuran Piala Dunia Korea / Jepun pada tahun 2002 yang memberi kesan kepada rakyatnya, governans malah polisi sukannya. Secara dasarnya kepimpinan politik dalam sukan antarabangsa bukan hanya memberi peluang kepada transformasi budaya kesukanan nasional tetapi ekonomi, media dan hubungan antarabangsa.

Polisi dan governans yang diterajui oleh pemimpin sukan global bagi negaranya secara jelas telah menjadi sejarah  kecemerlangan sukan dunia yang sentiasa dihayati. Dan sekarang, peluang untuk kesinambungan tersebut terbuka luas kepada pemimpin sukan di Malaysia. Terpulang kepada mereka untuk mengatur strategi, menggandakan usaha yang bukan hanya untuk memimpin satu organisasi dunia dan menerapkan polisi dan governans yang jelas kepada masyarakat dunia, tetapi yang penting, dalam masa yang sama berjaya membangkitkan ghairah terhadap sukan kepada masyarakat senegaranya.

©Sports Law in Malaysia.