Monday 28 March 2011

Undang-Undang Sukan dan Perundangan Antarabangsa

By: Jady@Zaidi Hassim (UKM)

Adakah lex sportiva bersifat antarabangsa? Undang-undang antarabangsa ialah undang-undang yang mengawalselia hubungan di antara negara-negara dengan menggunakan prinsip jus commune. Nafziger percaya sekiranya undang-undang antarabangsa diaplikasikan kepada sukan, segala peraturan yang berunsur disiplin dan proses membuat keputusan yang bersifat autoritatif dalam lex sportiva akan menjadi sebahagian daripada undang-undang antarabangsa itu sendiri. Oleh itu, lex sportiva hendaklah dilihat bukan hanya sebagai salah satu cabang undang-undang antarabangsa, malah ia adalah lebih luas dengan memasukkan elemen tambahan iaitu ‘kedaulatan undang-undang dan perlembagaan’ yang diamalkan oleh kebanyakan negara barat. Ia bermakna selain prinsip-prinsip awam dalam undang-undang antarabangsa, keputusan-keputusan berhubung sukan yang diputuskan oleh mahkamah keadilan kebangsaan negara-negara di dunia boleh dijadikan sandaran dan duluan mahkamah dalam memutuskan kes-kes sukan yang akan datang.[1]

                Houlihan berpendapat undang-undang sukan global dan universal perlu dibezakan dengan undang-undang sukan antarabangsa. Oleh kerana undang-undang sukan global dan universal adalah seperti ‘sport without a state’, ia bersifat tidak jelas dan tidak berasas, dan hanya menitik beratkan aspek pengkomersialan sahaja tanpa merujuk kepada identiti sebuah bangsa.[2] Contohnya, dalam sukan permotoran F1, pasukan mewakili syarikat besar yang membiayainya dan bukannya mempunyai satu identiti sebuah negara. Dalam konteks tersebut, tiada sebarang peruntukkan kewangan daripada kerajaan menyebabkan campurtangan kuasa kerajaan amat minima atau tiada langsung.

                Berbanding undang-undang badan sukan dunia, ia menerima pakai kerangka perundangan kebangsaan. Micheal Beloff menghujahkan bahawa lex sportiva itu bersifat antarabangsa kerana ia adalah asas yang menyokong kepada perlembagaan badan sukan antarabangsa. Ia mengandungi tiga elemen iaitu (1) norma-norma daripada pelbagai negara yang diwujudkan oleh peraturan dan amalan badan sukan antarabangsa; (2) mengandungi jurispruden yang unik berbeza dengan prinsip-prinsip perundangan yang diamalkan di mahkamah biasa; (3) bersifat autonomi dan mengatasi undang-undang kebangsaan sesebuah negara.[3]

                Prinsip itu sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang masih lagi berpegang teguh kepada undang-undang kebangsaan. Malah, ia diakui oleh institusi global iaitu CAS yang berpendapat bahawa peraturan yang diiktiraf secara lazim oleh masyarakat sukan adalah seperti berikut:

All sporting institutions, and in particular all sporting federations, must abide by general principles of law...certainly, general principles of law drawn from a comparative or common denominator reading of various legal systems and, in particular, the prohibition of arbitrary or unreasonable rules and measures can be deemded to be part of such lex ludica.[4]

                Badan sukan dunia boleh menggubal dan mencipta kod peraturannya sendiri. Namun, penggubalan kod peraturan tersebut tidak secara automatik bermakna tertubuhnya satu governan sukan yang bersifat global. Kod peraturan yang digubal juga bukan satu lex sportiva yang kebal daripada campurtangan undang-undang kebangsaan. Contohnya dalam konteks peraturan asas permainan iaitu bagaimana sesuatu sukan dikawal dan dikelolakan, ia dihujahkan tidak boleh dicabar secara teknikal dan adalah di luar kawalan sebuah institusi seperti CAS. Satu kes tinju yang diadili oleh CAS pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan diputuskan sebagai tidak sah kerana tumbukan terlalu rendah boleh dijadikan kajian.[5] Panel CAS menghujahkan bahawa dalam teori klasik, terdapat perbezaan dengan apa yang diputuskan oleh panel timbangtara CAS dengan peraturan asas permainan. Tetapi sekiranya sukan tersebut ialah sukan berprestij tinggi dan mempunyai kesan ekonomi, teori moden gagal membezakan sama ada peraturan asas permainan secara automatik mempunyai kekebalan perundangan.[6] Apa yang nyata dalam kes tersebut, Panel bersetuju bahawa kuasa kehakiman (mahkamah kebangsaan) boleh menyemak keputusan CAS sekiranya keputusan tersebut bersifat tidak adil dan tidak sah;[7] atau melanggar ‘peraturan sosial prinsip undang-undang secara umum’.[8]

                Namun, masyarakat sukan sudah sedia maklum dengan semangat kesukanan, yang dihujahkan bersifat ekuiti. Dengan itu, badan sukan dunia sebagai contoh meletakkan prinsip ekuiti tersebut dengan memasukkan prinsip-prinsip moral bukan hanya dalam perlembagaan malah peraturan asas permainan mereka; iaitu keadilan, integriti, semangat kesukanan selain karaktor asas permainan.[9] Ia bertujuan menjadikan pertandingan sukan lebih saksama, selain mengekalkan kejujuran dan integriti dalam sukan.[10] Prinsip-prinsip ekuiti dan moral tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada undang-undang antarabangsa. Mertens menyenaraikan prinsip-prinsip undang-undang awam berasaskan lex mercatoria yang tidak boleh diketepikan oleh badan sukan dunia. Antaranya ialah:

...pacta sunt servanda (agreements are binding), equity, the doctrine of proportionality, doctrine of personal liability, the prohibition of unjust enrichment, and the doctrine of clausula rebus sic stantibus (agreement is abrogated when there is a fundamental change in circumstances).[11]


[1] Nafziger, J., ‘Globalising sports law’ (1999) 9(2) Marquette Sports Law Journal 225, hlm. 237.
[2] Houlihan, B. Sport and international politics, Hemel Hempstead, Harvester-Wheatsheaf, 1994, hlm. 10.
[3] Beloff, M., et. al., Sports law, 1999, hlm. 4.
[4] AEK Athens & Slavia Prague v UEFA (Court of Arbitration for Sport 98/200; Award 20/08/99), para. 188.
[5] Mendy v IABA, OG, Atlanta 006, Dlm. Foster, K., ‘Is there a global sports law?’, 2003, hlm. 5.
[6] Mendy v IABA, para. 8.
[7] Ibid., para. 11.
[8] Lihat keputusan Mahkamah Tinggi Australia dalam Agar v Hyde [2000] 173 ALR 665. Menurut kes tersebut, peraturan asas permainan secara automatik adalah kebal daripada semakan perundangan.
[9] Foster, K., ‘Is there a global sports law?’, 2003, hlm. 6.
[10] Rasuah, percaturan permainan dan doping adalah contoh-contoh berlawanan dengan prinsip kesukanan dan akan memberi nama buruh ke atas sukan tersebut.
 [11] Mertens, H.J., Lex Mercatoria: a self applying system beyond national law?’ Dlm. Teubner, G. (pnyt.), Global law without a state, Andover, Dartmouth, 1997; Lihat Maniruzzaman, ‘The lex mercatoria and international contracts: a challenge for international commercial arbitration’ (1999) 3 American University International Law Review 657, hlm. 722.