Sunday 10 April 2011

Kontrak Misbun vs. Kontrak F1: Serupa Tetapi Tidak Sama....

Isu berhubung pembaharuan kontrak dalam sukan bukan satu perkara baru. Ia telah lama diperkatakan khususnya dalam sukan bola sepak. Setiap musim baru, pemain bola sepak mesti menandatangani Kontrak Pemain dengan kelab atau persatuan negeri.  Dengan menandatangani kontrak tersebut, pemain menjadi ahli sukan profesional, mendapat gaji bulanan dan dikategorikan sebagai seorang pekerja.


Bagi pelajar undang-undang, istilah kontrak, elemen dan penamatan telahpun dipelajari dalam Tahun 1. Kontrak adalah undang-undang substantif yang paling penting kerana ia melibatkan hampir semua urusan harian pelakunya. Secara umum, ia adalah satu perjanjian yang boleh berkuat kuasa (seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950), bersifat mengikat kedua-dua pihak secara sukarela (seksyen 10 Akta Kontrak 1950) sama ada bagi melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu janji (seksyen 2(a)(b)(c) Akta kontrak 1950).

Dalam kontrak sukan pula, definisi universal tersebut mungkin kurang tepat. Apabila kurang tepat, dari situlah perbezaan ketara yang membelenggu kontrak Misbun dan kontrak F1. Secara jelas, perbezaannya terletak kepada kedudukan Misbun sebagai seorang jurulatih, yang perlu menandatangani kontrak jurulatih di bawah majikannya, BAM. Posisinya sebagai seorang jurulatih telah meletakkannya sebagai satu pihak yang diambil bekerja (pekerja). Kontrak yang ditandatangani oleh beliau adalah kontrak perkhidmatan. Kontrak tersebut mempunyai terma-terma berhubung tugas dan tanggungjawab, proses penyelesaian pertikaian yang memihak kepada majikan malah penamatan dan pemecatan dalam kuasa budi bicara majikan. Tempoh kontrak juga telah ditentukan oleh majikan berdasarkan kepada keperluan dan mempunyai jangka hayat yang singkat (2-3 tahun sahaja). Secara umumnya kontrak tersebut adalah kontrak yang bersifat persendirian, berbentuk seragam dan bertempoh tetap.


Kenapa berbentuk seragam? Ia bertujuan untuk digunakan berulang-ulang kali ke atas mana-mana jurulatih baru yang akan dilantik nanti. Terma dan klausa di dalam kontrak tersebut tidak perlu ditukar (telah diseragamkan oleh majikan) dan yang hanya membezakan kontrak sukan seorang jurulatih dengan kontrak sukan jurulatih yang lain ialah bahagian lampiran yang melibatkan jumlah gaji dan juga manfaat kesihatan atau insurans. Terma dan klausa yang telah ditetapkan itu apabila telah diseragamkan oleh majikan tidak perlu dibincangkan (negotiate) oleh jurulatih tersebut. Perkara yang hanya dibincangkan hanyalah jumlah gaji dan manfaat. Apabila perkara tersebut wujud, tiada istilah sukarela sepertimana yang telah didefinisikan.

Dan ironinya ialah proses penamatan kontrak jurulatih. Majikan boleh mengenakan terma khusus berhubung kelakuan, persembahan (performance) dan kejayaan yang dibawa oleh jurulatih. Sekiranya jurulatih gagal untuk memenuhi kriteria kejayaan tersebut, ia boleh dijadikan sebagai satu alasan munasabah untuk pemecatan. Walaupun 'alasan munasabah' adalah satu istilah yang masih didebatkan dalam undang-undang perburuhan dan perusahaan, bagi sukan, sekiranya tiada kejayaan yang dicapai, ia jelas bermakna jurulatih telah gagal untuk melakasanakan tugas dan tanggungjawab. Dan apabila jurulatih merasakan dirinya secara konstruktif dipecat (iaitu apabila nasihat dan pengalaman teknikal tidak lagi diperlukan), beliau boleh menamatkan kontrak tersebut. Dan apabila kontrak ditamatkan dalam keadaan sedemikian, jurulatih pula boleh dianggap sebagai telah mungkir janji (breach of contract) kerana kegagalan untuk memenuhi tuntutan kontrak dalam tempoh yang telah disetujui. Kedua-dua keadaan iaitu menandatangani kontrak dan penamatan kontrak sebelum tamat tempoh telah meletakkan Datuk Misbun dalam keadaan tertekan dan diskriminasi. Namun perkataan tersebut 'tidak layak digunakan' kerana beliau sendiri pada mula lagi telah 'bersetuju dengan rela' apabila telah menandatangani kontrak tersebut. Keadaan tersebut juga telah meletakkan majikannya sebagai satu pihak yang mempunyai kuasa penuh (tanpa campurtangan luar - kerajaan) walaupun anak didiknya telah menempa nama kegemilangan di persada antarabangsa.

Sebaliknya, kontrak F1 adalah satu bentuk kontrak penganjuran.Kesan kontrak penganjuran tersebut pula dikatakan telah memberi kesan yang positif kepada ekonomi negara, malah boleh juga meningkatkan imej Malaysia ke persada antarabangsa. Kontrak penganjuran adalah satu kontrak bersifat komersial yang bukan hanya melibatkan hak terhadap harta intelek tetapi penyiaran yang bernilai jutaan ringgit. Tidak hairanlah apabila ianya tamat, penyambungan kontrak tersebut bukan hanya perlu dibincangkan secara teliti diperingkat badan sukan kebangsaan (Automobile Association of Malaysia - AAM) dengan Federation Internationale de I'Automobile (FIA), tetapi perlu dibincangkan secara serius di Kabinet. Terma baru yang akan ditentukan oleh FIA semestinya bersifat seragam sepertimana kontrak Misbun dan akan terpakai kepada negara-negara anggota. Bezanya kandungan terma tersebut amat sulit dan dikatagorikan sebagai 'rahsia'. Tempoh yang ditentukan juga adalah tetap iaitu selama 10-15 tahun (rujuk Concorde Agreement 2009). Kerahsian terma dan klausa tersebut ada maknanya demi menjaga kepentingan FIA sebagai badan sukan permotoran dunia.

Jelas, dalam kedua-dua kontrak, cara perlaksanaan adalah serupa apabila kontrak sukan biasanya bersifat seragam, bertempoh tetap dan memberi kepentingan ke atas pihak yang mengadakannya. Yang tidak sama ialah cara kita menilai kepentingannya... bukan kepentingan kepada imej negara semata-mata tetapi 'siapa dan dengan siapa' kontrak tersebut dimeterai...fikir-fikirkanlah.


Sports Law in Malaysia